12/05/2026
PENGUATKUASAAN TAMBANG MINIMUM BANTU PENGUSAHA BAS TERUS BERTAHAN
Oleh: Utusan Malaysia, 12 Mei 2026
KOTA BHARU: Penguatkuasaan tambang minimum bagi bas ekspres kelas eksekutif yang mula dilaksanakan pada 1 Mei lalu langkah penting dalam memastikan pengusaha bas terus bertahan berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat.
Pengerusi Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, pelaksanaan tersebut bukan kenaikan tambang baharu, sebaliknya penguatkuasaan semula peraturan sedia ada yang telah diwartakan sejak tahun 2022.
Menurut beliau, sebelum ini terdapat pemain industri yang menjual tiket bas eksekutif pada harga sama atau lebih rendah daripada tambang bas ekonomi, sekaligus memberi kesan kepada struktur dalam industri.
”Di Malaysia terdapat dua kelas perkhidmatan bas ekspres iaitu eksekutif dan ekonomi. Kelas eksekutif tidak mempunyai siling harga, tetapi tertakluk kepada harga lantai atau harga minimum”.
”Apabila desakan pengusaha supaya kerajaan menaikkan harga kelas ekonomi tidak diluluskan sejak tahun 2008, ada dalam kalangan pengusaha mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan bas kelas ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Che Ibrahim memberitahu keadaan menjadi lebih mencabar apabila pengusaha menaikkan harga tiket bas eksekutif ketika musim puncak seperti cuti sekolah dan perayaan, namun menurunkannya pada waktu ntaan rendah sehingga lebih murah daripada tambang kelas ekonomi.
Katanya, situasi tersebut menyebabkan pengusaha kelas ekonomi berada dalam tekanan kerana tidak mempunyai ruang untuk menaikkan tambang ketika permintaan tinggi akibat terikat dengan siling harga.
“Pada waktu permintaan rendah p**a, mereka terpaksa bersaing dengan pengusaha eksekutif yang menurunkan harga. Persaingan tidak sihat ini akhirnya menyebabkan ramai pengusaha tidak lagi berminat untuk menyediakan perkhidmatan kelas ekonomi.”
”Keadaan ini amat merugikan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah kerana tanpa pelindungan terhadap kelas ekonomi, mereka tidak lagi mempunyai pilihan tambang mampu milik pada waktu puncak,” jelasnya.
Beliau menegaskan, ketika ini E-Mutiara masih lagi bertahan menawarkan perkhidmatan kelas ekonom selain Sani Ekspres.
12 Mei 2026